Sabtu, 25 Mei 2013

KAJIAN TAFSIR SURAT AL-BAQARAH AYAT 31 - 33

1 

-
  Ayat 31 :
- Setelah Allah s.w.t menjadikan Adam a.s, lalu Allah mengajarnya akan nama-nama (الأسماء). Mengikut riwayat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah, Qatadah dan Sa’id b. Jubayr rahimahumullah, mereka mengatakan bahawa Allah s.w.t mengilhamkan kepada Adam a.s semua nama-nama yang ada diatas muka bumi ini.
- Mengikut riwayat yang lain, nama-nama itu ialah nama-nama malaikat dan nama zuriat keturunan Adam a.s. Pendapat ini disokong oleh Abu Jaa’far Ibn Jarir al-Tobari didalam tafsirnya.
- Kemudian Allah s.w.t mengemukakan nama-nama tersebut kepada malaikat dan meminta agar malaikat memberitahu nama-nama tersebut sekiranya mereka ini benar dan betul.
  2- Ayat 32:
- Beginilah sifat malaikat yang merupakan hamba Allah yang mulia dan taat kepada Allah s.w.t yang mana apabila ditanya sesuatu perkara yang luar daripada pengetahuan mereka, mereka akan akur tidak mengetahuinya. Perkara sebegini tidak seperti sesetengah manusia yang kadang-kadang secara rambang memberitahu sesuatu perkara walaupun perkara tersebut tidak diketahui oleh mereka.
- Malaikat menyebut “maha suci Engkau wahai Tuhanku” yang bermaksud Tuhan yang maha suci daripada segala sifat kekurangan. Diantara sifat kekurangan itu ialah jahil (tidak mengetahui)
- Malaikat juga mengakui mereka tidak mempunyai ilmu melainkan apa yang di ajar oleh Allah s.w.t sahaja. Sifat sebegini sepatutnya disedari oleh manusia bahawa segala ilmu yang ada didunia ini kesemuanya adalah ilmu yang diajarkan oleh Allh s.w.t
- Jika sekiranya seseorang itu sedar bahawa ilmu yang ada padanya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka dia belajar kerana Allah dan Allah akan member petunjuk kepadanya.
- Tetapi jika sekiranya, seseorang itu mempunyai ilmu sedangkan dia lupa kepada Allah s.w.t, ilmunya semakin lama semakin tidak berfaedah kepada beliau sehinggakan tidak dapat membezakan mana yang halal dan mana yang haram.
  3- Ayat 33:
- Berdasarkan ayat ini, segala yang telah dijadikan oleh Allah s.wt hendaklah semua makhluknya termasuklah malaikat dan manusia menerimanya dan menyerah diri kepada Allah s.w.t kerana Allah mengetahui segala apa yang zahir dan apa yang disembunyikan.
- Sebab itu apabila malaikat tidak bersetuju ketika mana Allah hendak mencipta Adam sebagai khalifah, maka ditempelak oleh Allah dengan mudahnya sekaligus menjadi satu dalil bahawasanya kita sebagai manusia tidak boleh bertanya mengapa Allah s.w.t menjadikan sesuatu atau apa sebab Allah s.w.t menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kerana itu semua adalah dibawah pengetahuan Allah s.wt.
- Jangan kita menunjukkan diri kita mengetahui lebih daripada Allah s.wt. Yang menjadikan manusia ialah Allah s.wt dan begitu juga apa yang memberi manfaat mahupun mudarat adalah kesemuanya diketahui oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah jangan kita bertanya tentang segala hukum yang telah Allah tuntutkan kepada manusia sepertimana firmanNya
لا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
Yang bermaksud: “tidak ditanya daripada apa yang ia jadikan tetapi mereka itulah yang akan ditanya”
- Jangan kita setelah tahu hikmahnya baru kita mahu percaya kepada hukum Allah tetapi sebaiknya kita hendaklah menyerah diri kepada Allah s.w.t setelah kita mengetahui bahawa Allah s.wt maha mengetahui tiap-tiap sesuatu sama ada yang tersembunyi apatah lagi yang zahir dan nyata sebagaimana sifat malaikat menyerah diri kepada Allah s.w.t dan itulah sifat yang mulia dan terpuji.

REFERENSI 
Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), 
Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya Tafsir al-Munir, mk 135
Ibnu Katsir, Tafsir Alqur'a al-azhim
Mushtafa Al-Maraghi, Tafsir Al-Maraghi


Tidak ada komentar: